PARIT BUNTAR: Isu parkir kenderaan pekerja kilang AEL Engineering di sini yang menimbulkan gangguan kepada penduduk Taman Kerian sejak 30 tahun lalu akhirnya berjaya diselesaikan.
Parkir kenderaan pekerja kilang menimbulkan rungutan dalam kalangan penduduk kawasan perumahan tersebut apabila kenderaan diletakkan di bahu jalan, kiri dan kanan laluan masuk penduduk ke taman itu.
Ekoran masalah itu, kerajaan negeri berjaya mencari penyelesaian dengan menawarkan satu kawasan tanah rizab berhampiran kilang itu untuk dijadikan tapak meletak kenderaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, tanah yang ditawarkan itu adalah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian.
“Kawasan ini seluas 2.4 hektar, kita tawarkan pajakan rizab seluas 0.8 hektar bagi menyelesaikan masalah parkir kenderaan pekerja kilang ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kenderaan yang diparkir di jalan utama di Taman Kerian dekat sini hari ini.
Sementara itu, wakil penduduk kawasan perumahan itu, Jasni Ahmad, 56, berkata, konflik antara penduduk dan pihak kilang elektronik ini berkaitan isu letak kenderaan pekerjaberlaku hampir 30 tahun.
Katanya, isu itu terus dihadapi penduduk tanpa ada sebarang penyelesaian.
Katanya, sebelum ini rungutan dan aduan daripada penduduk telah disampaikan kepada pihak yang berkenaan dan hasil perbincangan beberapa kali sebelum ini, hampir mencapai penyelesaian.
“Kerajaan negeri memandang serius masalah ini dan menyelesaikannya dengan menawarkan pajakan tanah rizab JPS kepada pihak kilang, berita ini amat menggembirakan penduduk.”
“Sementara menantikan tempat letak kenderaan di tanah rizab siap, kami berharap pengurusan kilang memastikan kenderaan pekerja mereka diletakkan lebih teratur agar tidak mengganggu lalu lintas, ketenteraman dan keselamatan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar AEL Engineering, Lee Chong Leong berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menawarkan tanah rizab JPS untuk dijadikan tempat letak kenderaan pekerja mereka.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya ada menyewa sebuah tanah untuk dijadikan kawasan letak kenderaan, namun tapak itu hanya mampu memuatkan sebanyak 50 buah kereta sahaja.
“Selebihnya terpaksa meletak kenderaan mereka di bahu jalan kiri dan kanan jalan utama Taman Kerian.
“Sementara menantikan tapak kenderaan ini siap, pihak pengurusan kilang akan memastikan semua kenderaan pekerja akan diletakkan hanya pada sebelah bahu jalan sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE