PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada golongan warga emas bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluas usaha itu ke seluruh kawasan Parlimen selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, perkara ini berikutan Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 iaitu apabila sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas.
“Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada golongan ini.
“Malaysia juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.
“Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas. Kesaksamaan Digital Merentasi Usia,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Warga Emas hari ini.
“Selamat Menyambut Hari Warga Emas saya ucapkan kepada semua warga emas di seluruh Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE