Kami memang anak tiri - pengusaha bot C2 - Utusan Malaysia

Kami memang anak tiri – pengusaha bot C2

BOT-BOT nelayan laut dalam yang tersadai di Tumpat. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Selain kenaikan harga diesel RM2.70 seliter, pengusaha bot kelas C2 turut dibebani dengan kos-kos lain sebagai syarat wajib bagi bot dalam kelas kumpulan kapal 70 GRT ke atas.

Bukan semua pengusaha bot C2 menggunakan modal sendiri untuk membiayai kos tersebut, sebaliknya ada yang bergantung pinjaman bank untuk membolehkan beroperasi menangkap ikan di laut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nazori Yusof, 58, yang mewakili 30 pengusaha bot laut dalam di Tumpat berkata, berdasarkan kesusahan demi kesusahan dilalui, laporan muka depan akhbar ini pada Isnin lalu yang menyebut ‘nelayan C2 dianaktirikan’ memang tepat.

NAZORI YUSOF

 

Kata Nazori, zon tangkap ikan bagi C2 bermula di sekitar 55.6 kilometer dari muara sehingga ke sempadan perairan negara jiran dan dengan lokasi sebegitu jauh, mereka perlu berbelanja besar untuk membeli minyak diesel yang mencukupi.

“Lesen tahunan bot C2 perlu dibayar antara RM3,210 sehingga RM10,000 wajib dilunaskan, baru dapat permit untuk aktif dalam industri. Nilai ini jauh lebih mahal berbanding bot C hanya RM700 setahun.

“Setiap bot C2 wajib memiliki alat pengesan kedudukan bot (VTMS) dibeli sendiri dengan harga RM18,000. Alat ini menggunakan capaian satelit Telekom Malaysia dengan caj RM320 sebulan, wajib dibayar sama ada bot beroperasi atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isnin lalu, dianggarkan 450 pengusaha bot kelas C2 di seluruh negara dilaporkan tenat sehingga ada yang menghentikan operasi kerana tidak mampu menanggung kenaikan harga diesel sehingga RM5,000 sebulan bagi sebuah bot sebelum dapat keluar menangkap ikan.

Nazori berkata ketika pengusaha bos kelas C2 perlu menanggung diesel tanpa subsidi RM2.70 seliter dengan kira-kira 10,000 hingga 20,000 liter diperlukan setiap kali keluar menangkap ikan, bot kelas C lebih beruntung apabila membelanjakan RM1.65 seliter bagi tujuan sama.

Satu lagi masalah membelenggu mereka kata Nazori, isu pekerja tempatan yang tidak sanggup turun ke laut walau ditawarkan gaji lumayan dan ditanggung makan-minum masing-masing sepanjang berkhidmat di atas bot.

“Supaya bot C2 tidak terus tersadai kru nelayan asing perlu diambil bekerja, namun satu lagi perkara pahit untuk kami telan apabila Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) hanya dikeluarkan dengan bayaran RM2,000 bagi setiap awak-awak.
“Ini bermakna, untuk menggerakkan sebuah bot C2 yang tersadai sejak sekian lama akibat PKP yang berpanjangan baru-baru ini, pengusaha terpaksa sediakan modal RM80,000 bagi 40 awak-awak, hanya untuk bahagian PLKS sahaja,” ujarnya.

Nazori berkata, satu lagi bukti pengusaha bot C2 ‘anak tiri’ adalah syarat wajib bagi bot pukat tunda iaitu perlu mendaratkan 250 tan ikan setahun manakala bot pukat jerut 350 tan setahun dan jika syarat tersebut tidak dipenuhi, lesen bot C2 mereka tidak akan diperbaharui.

“Hukuman bagi bot C2 yang melakukan kesalahan semuanya tinggi berbanding bot kategori lain. Jika diamati, tiada satu pun rasa prihatin kerajaan terhadap pengusaha C2 dalam industri perikanan negara. Jadi tidak mustahil kalau kami ‘lingkup’ satu hari nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN