PUTRAJAYA: Program Dapur It’am 6.0 diteruskan bermula hari ini hingga 6 Mac tahun depan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10.7 juta.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi kenyataan berkata, peruntukan bagi program itu disumbangkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sekali gus dijangka memberi manfaat kepada 8,400 penerima setiap hari.
“Jumlah keseluruhan penerima manfaat yang dijangkakan sepanjang program tersebut berjumlah 1,285,200 orang.
“Program anjuran Jawi ini adalah inisatif di bawah Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) melibatkan penyertaan 70 buah masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Katanya, Dapur It’am adalah sebuah program berkonsepkan dapur berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis menu masakan setiap hari secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.
Jelasnya lagi, tujuan utama program tersebut adalah menyasarkan ‘sifar lapar’ dalam tempoh pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Tambah Jawi, kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid dan surau memasak makanan tengah hari secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada golongan sasaran.
“Antara golongan sasaran termasuk penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam, B40, Asnaf dan petugas barisan hadapan.
“Proses agihan makanan tengah hari dilaksanakan setiap hari berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, Dapur It’am yang digerakkan sejak awal pandemik melanda negara tahun lalu telah mengagihkan sebanyak 1,639,256 pek makanan bermasak bernilai RM 13,521,690 telah diagihkan kepada ‘Keluarga Malaysia’ yang memerlukan sehingga kini. -UTUSAN ONLINE