Tahfiz Ittifaqiyah bangkit dalam perit - Utusan Malaysia

Tahfiz Ittifaqiyah bangkit dalam perit

Aktiviti harian pelajar tahfiz, di Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Dato Keramat,pada 25 Ogos 2021. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun bermacam-macam cabaran dan kecaman yang diterima dari pelbagai pihak, namun Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kini bangkit dalam ‘keperitan’ selepas hampir tersungkur susulan kejadian kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua pengetuanya pada 14 September 2017.

Dalam tempoh empat tahun dan sehingga kini, pusat tahfiz persendirian terletak di Kampung Datuk Keramat Hujung di sini masih berhadapan dengan kes mahkamah, selain terus menerima pandangan negatif sesetengah masyarakat kejiranan yang beranggapan pusat pengajian Islam tersebut tidak sesuai didirikan di kawasan itu.

“Pelbagai cabaran dan kecaman diterima pihak kami selepas kejadian tersebut, malah kes saman pihak ibu bapa juga masih berjalan, tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus menyampaikan ilmu Allah.

“Walaupun kami ibarat tersungkur menyembah bumi, kami bangun kembali demi terus melahirkan generasi al-Quran dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan” katanya Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang kini terletak kira-kira 400 meter dari tempat kebakaran.

Mengimbas kejadian empat tahun lepas, terlalu banyak cabaran yang perlu mereka tempuhi untuk bangkit malah sehingga kini masih banyak persepsi tidak senang daripada kejiranan.

“Ada juga jiran-jiran di sini membuat laporan polis dengan mengatakan bahawa pusat ini tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) selain ada juga buat laporan hanya kerana anak-anak di sini bermain bola pada waktu petang di halaman belakang.

“Malah ada juga yang samakan saya sebagai ‘ustaz jadian’ seperti di dalam drama bersiri Nur,” katanya.Terdahulu Utusan Malaysia sempat dibawa meninjau bangunan yang didirikan di atas tanah berkeluasan 10,000 kaki persegi dengan kemudahan serba lengkap walaupun pelajarnya tidak dikenakan yuran.

Dari segi keselamatan pula, bangunan ini dilengkapi dengan 18 kamera litar tertutup (CCTV), loceng keselamatan serta lebih 10 alat pemadam api.

Menurut Mohd. Zahid, dia memperuntukkan perbelanjaan peribadinya sebanyak RM40,000 untuk mendirikan bangunan baharu pusat tahfiz di atas tapak asal tahfiz tersebut, selain peralatan pembelajaran dan keselamatan.
Mengulas isu pihak pengurusan pusat Tahfiz di Selangor menghadapi kekangan untuk membayar gaji kira-kira 8,000 tenaga pengajar, Mohd. Zahid kurang yakin dan mungkin ia sekadar gimik.“Ini kerana statistik tenaga pengajar tahfiz di seluruh Malaysia pada 2019 hanya 3,500 orang dan jika dilihat di Selangor ada 400 buah sekolah tahfiz. Jadi, jika di Selangor sudah 8,000 tenaga pengajar terkesan, jadi berapa ramai yang mengajar di setiap sekolah?

“Ia mungkin akan masuk akal sekiranya jumlah tersebut adalah termasuk dengan kakitangan dan pembantu di sekolah-sekolah tersebut. Orang luar mungkin akan melihat jumlah tersebut dengan serius tetapi bagi mereka yang berada ddalam bidang ini akan tahu bahawa berta itu sahih atau tidak,” tegasnya.

Sementara itu, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kini mempunyai 30 pelajar dan salah seorang daripada mereka adalah Orang Kurang Upaya (OKU) berasal dari Terengganu.
Sempat berborak dengan pelajar tersebut, Muhammad Haziq Hakim, 16, dari Kuala Besut, berkata, dia seronok bersama kawan-kawan di sini.

“Kalau dulu di kampung ramai yang tak mahu berkawan mungkin kerana saya OKU tetapi di sini saya seronok dan kawan-kawan semua tidak mengejek,” katanya menoleh kepada pengetuanya.

Seorang lagi pelajar antara yang paling kecil di situ, Muhammad Aizal Haziq, 9, berada di pusat itu sejak berumur tujuh tahun, mempunyai campuran darah Malaysia dan Nigeria (ibunya) yang menetap di Malaysia.

“Permulaan saya masuk di sini risau juga dan takut kerana tak pernah berjauhan dengan keluarga, tapi selepas dah jumpa dengan kawan-kawan dan ustaz, saya makin seronok.

“Tiga bulan lepas ada juga ibu bapa saya datang melawat tetapi selepas itu mereka tidak lagi dibenarkan melawat dan hanya boleh melihat dari dalam pagar sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN