PETALING JAYA: Sebanyak 82 peratus daripada kira-kira 35,000 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Semenanjung dan Sabah lengkap menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, menyedari harapan negara dan rakyat terhadap peranan sebagai perkhidmatan perlu, TNB melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin warga kerjanya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut beliau, pihaknya berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan warga kerjanya yang bertugas di barisan hadapan mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.
“Kempen dalaman ini berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja kami.
“Alhamdulillah, mereka mendaftar secara sukarela berikutan wujudnya kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan Covid-19 pada diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan kami,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, vaksinasi menyeluruh menjadi keutamaan syarikat utiliti berkenaan berikutan sebahagian besar anggota kerjanya perlu berada di lapangan iaitu di seluruh rantaian tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan, demi keselesaan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Operasinya adalah perkhidmatan perlu dalam usaha negara memerangi Covid-19, khususnya memastikan bekalan elektrik kekal stabil di lokasi-lokasi strategik termasuk hospital, pusat kesihatan, pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin.
Menurut Baharin, pihaknya juga menubuhkan sebuah pasukan bertindak khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi anggota kerjanya.
“Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang membantu pasukan bertindak mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB.” katanya.
Tambah beliau, bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara, pihaknya juga menetapkan hanya warga kerjanya yang menerima vaksin dibenarkan bekerja di lapangan manakala yang lain masih digalakkan untuk bekerja dari rumah.
“TNB memandang serius keperluan warga kerja kami mendapatkan suntikan vaksinasi kerana ia dapat membantu usaha negara memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.- UTUSAN