‘Walaupun isi minyak tak sampai RM10, tapi dapat bantu banyak trip’ - Utusan Malaysia

‘Walaupun isi minyak tak sampai RM10, tapi dapat bantu banyak trip’

FAUZI Faizal (kiri) menuang minyak petrol ke tangki motosikal salah seorang penghantar makanan dan barangan di sebuah stesen minyak di Taman Cahaya Masai, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Program Santuni Rider Kita anjuran Pemuda UMNO Bahagian Tebrau berjaya mengukir senyuman buat 100 penghantar barangan dan makanan apabila mereka bukan sahaja mendapat minyak percuma, malah, turut menerima sumbangan juadah Aidiladha.

Seorang penghantar makanan, Muhd. Idham Dinie, 19, memberitahu, sumbangan itu pastinya memberikan kesan positif buat penghantar barangan dan makanan yang sentiasa bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain.

MUHD. IDHAM DINIE

Katanya, dia yang baru sebulan bekerja sebagai ‘rider’ itu hanya mengetahui tentang program tersebut melalui melalui rakan-rakan yang lain.

“Alhamdulillah, memang gembira dan bersyukur sangat bila dapat tahu ada pihak nak beri minyak percuma kepada kami. Kebetulan tengah hari ini menghantar pesanan di kawasan berhampiran, alang-alang, dapatlah saya singgah sekali untuk isi minyak penuh.

“Walaupun tuang minyak penuh tangki tak sampai RM10, ia tetap dapat membantu saya buat banyak trip.Terima kasih sangat pada mereka yang membantu dan ingat pada kami,” katanya ketika di temui di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.

Sementara itu, Rizal Mohd. Yasin, 32, dia tidak menyangka masih ada individu yang mengingati golongan seperti mereka sewaktu berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, secara peribadi, pemberian minyak percuma itu memberi kelegaan buatnya dan dapat menjimatikan modalnya hari ini.

“Alhamdulillah, tidak perlu keluar modal hari ini, saya ucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Tebrau dan pada semua. Gembira sangat sebab jarang dapat bantuan sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, Program Santuni Rider Kita itu diadakan kerana mereka memahami situasi masyarakat terutama anak muda yang bersusah payah bekerja demi sesuap nasi.

Katanya, usaha pemberian minyak secara percuma itu akan diperluaskan di seluruh kawasan Tebrau dalam masa terdekat.

“Hari ini, kita sumbang makanan raya Aidiladha dan isi minyak secara percuma yang secara tidak langsung dapat membantu ‘rider’ dalam mengurangkan beban ekonomi ketika berdepan penularan pandemik ketika ini.

“Selepas ini, kita akan memperluaskan program ini ke seluruh Tebrau. Hari ini kita fokus bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN