Penghantar makanan terima basikal lipat - Utusan Malaysia

Penghantar makanan terima basikal lipat

HUSSEIN Abdullah (kiri) mewakili sebuah syarikat pemaju menyerahkan sumbangan sebuah basikal lipat kepada penghantar makanan, Shah di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kecekalan seorang pengurus restoran di sini yang terpaksa memilih kerjaya baharu sebagai penghantar makanan ekoran pandemik Covid-19 mendapat perhatian sebuah syarikat pemaju semalam.

Anak jati Pulau Mutiara yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 47, itu menerima sebuah basikal lipat daripada syarikat Express Residency Services yang berpangkalan di negeri ini.

Sebelum ini, kisahnya yang diberi cuti tanpa gaji sejak dua bulan lalu sehingga memaksanya beralih kerjaya sebagai penghantar makanan disiarkan Utusan Malaysia pada 25 Julai lalu.

Lebih memeritkan apabila dia juga terpaksa menyewa basikal menerusi aplikasi sistem perkongsian basikal atau Link Bike yang disediakan kerajaan negeri dengan kadar RM25 seminggu.

Sementara itu, wakil syarikat berkenaan, Hussein Abdullah berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang dialami Shah sejurus kisahnya disiarkan akhbar.

Menurutnya, sumbangan sebuah basikal lipat diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi keselesaan serta kemudahan urusan kerjaya hariannya.

“Kami memahami keadaannya yang terdesak mencari pekerjaan baharu untuk menanggung bebanan hutang yang dihadapinya serta menguruskan kelangsungan hidup.

“Dengan sumbangan ini, kami harap sedikit sebanyak dapat membantunya meringankan kesulitan yang dialami dengan menjana pendapatan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah rakan kongsinya, S. Parathi Raju.

Sementara itu Shah memberitahu, sumbangan berkenaan disifatkan sebagai hadiah paling bermakna ketika dia berdepan dengan ujian getir berikutan pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, saya memakai pakaian kemas dan kerja dalam suasana berhawa dingin, tetapi kini semuanya berubah 100 peratus.

“Saat ditimpa hujan lebat dan angin kuat sehingga badan basah kunyup ketika menghantar tempahan makanan kepada pelanggan antara pengalaman baharu yang saya tempuhi.

“Apapun, saya perlu mengharunginya dengan hati yang cekal demi kelangsungan hidup dalam suasana norma baharu ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN