Pekerja Pos Rider Melaka minta tangguh penamatan - Utusan Malaysia

Pekerja Pos Rider Melaka minta tangguh penamatan

SERAMAI 23 orang pekerja Pos Rider berkumpul di hadapan Hub Pos Laju Ayer Keroh, Melaka bagi menyatakan bantahan secara aman susulan penamatan kontrak mereka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 23 pekerja Pos Rider Melaka meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah, gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Menurut salah seorang Pos Rider, Muhammad Yusuf Ashraf Ali, 25, mereka hanya menerima notis tersebut pada malam 21 Jun lalu yang memaklumkan kontrak kerja akan ditamatkan pada 1 Julai, hari ini.

Katanya, seramai 23 Pos Rider menerima notis yang sama dan kini bukan sahaja hilang punca pendapatan, namun, terpaksa menanggung hutang gara-gara membeli van bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Dalam surat itu sendiri ada menyebut mengenai tempoh pemberhentian berkuatkuasa iaitu selepas 14 hari notis, namun, kami menerimanya pada 21 Jun dan mempunyai sembilan hari untuk mencari kerja baru.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan Pos Malaysia kerana bukan sahaja membuang kami dengan notis singkat, malah, tergamak melakukannya pada waktu kami bergelut untuk teruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Hub Pos Laju Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf turut meluahkan, dia buntu untuk mencari jalan penyelesaian kerana masih belum mendapat peluang pekerjaan baharu, malah, masih dibebani hutang van yang dibelinya itu.

“Ramai yang berani membuat keputusan untuk membeli van dan menanggung hutang kerana yakin dengan peluang diberikan. Tidak sangka sekarang kami dibuang begitu sahaja hanya kerana mereka mendakwa barang semakin susut.

“Saya kini perlu membayar hutang van dan isteri pula tengah sarat mengandung anak sulung kami. Saya minta agar Pos Malaysia pertimbangkan semula keputusan mereka, setidaknya buanglah kami selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh kami merantau ke luar mencari rezeki untuk keluarga,” pintanya sayu.

Sementara itu, Muhammad Naim Ghani, 29, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa mereka sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan dan imej Pos Malaysia dengan memastikan syarikat penghantaran berkenaan kekal relevan.

“Kami tidak pernah menimbulkan sebarang masalah, malah, sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan Pos Rider dan imej Pos Malaysia.

“Justeru, kami berharap sangat agar Pos Malaysia mengambil kira semua aspek termasuk kesetiaan ditunjukkan kami selama ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya