PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi lanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had
usia maksima penggunaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, lanjutan itu diberikan seperti yang ditetapkan di dalam syarat lesen atau permit kenderaan termasuk yang mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar ini.
“Mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had usia maksima penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 akan diberi pelanjutan secara automatik untuk satu tahun lagi.
“Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan yang menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pelanjutan itu melibatkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.
Ka Siong berkata, keputusan ini juga terpakai bagi syarikat, agensi dan operator pelancongan serta pelesenan bas pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Menurutnya, MOT sentiasa mendengar dan prihatin terhadap segala rintihan pemain industri yang terjejas akibat Covid-19 memandangkan perkhidmatan pengangkutan awam adalah mod pengangkutan yang dekat dihati masyarakat.
“MOT memahami situasi yang terpaksa dihadapi oleh pemain industri apabila tidak berupaya untuk menggantikan kenderaan masing-masing pada waktu sukar ini.
“Lanjutan had usia penggantian kenderaan ini diharap memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE










