TAMPIN: Individu bergaji hari dan bekerja pula dalam bidang bukan keperluan utama merupakan golongan yang paling terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Begitulah yang kini dialami oleh seorang bapa tunggal, Adnan Kasim, 45, dari Felda Bukit Rokan Utara dekat sini yang hilang pendapatan sebagai buruh alat pemadam api.
Jelasnya, yang mempunyai lima orang anak berusia sembilan hingga 18 tahun itu, sejak pelaksanaan PKP 3.0, dia kehilangan gaji harian sekitar RM30 hingga RM50.
Ujarnya, sebagai seorang buruh alat pemadam api, upah kerjanya adalah berpandukan kepada jumlah alat pemadam api yang telah disemak serta dipantau keadaannya di beberapa lokasi di daerah ini.
“Bila tidak bekerja ni tentunya tiada pendapatan, saya hanya berjimat-jimat menggunakan wang i-Sinar yang diperoleh sebelum ini bagi menampung keperluan saya serta lima orang anak.
“Apabila dapat bantuan makanan daripada mana-mana pihak tentunya kami amat terharu dan berterima kasih kerana sekurang-kurangnya kami tidak terputus bekalan makanan sementara menunggu saya boleh bekerja semula,” katanya.
Dia ditemui dalam program bantuan makanan yang disalurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Rokan Utara dekat sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi MPKK Felda Bukit Rokan Utara, Mohd. Zairi Yahya berkata, pihaknya mengambil pendekatan menyebarkan pautan ‘Google Form’ sejak bermulanya PKP Penuh pada 1 Jun lalu.
Menurutnya, langkah berkenaan bagi memastikan penduduk kampung yang terjejas terutamanya yang segan untuk bersemuka dengan MPKK supaya dapat diberikan bantuan segera.
“Sejak dilaksanakan, lebih 64 buah keluarga di perkampungan ini telah disalurkan bantuan bakul makanan dan juga keperluan khas lain yang telah diisi di dalam Google Form berkenaan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










