Masrol kibar bendera putih demi kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Masrol kibar bendera putih demi kelangsungan hidup

MASROL NIZAM MD. DAUD,37, sambil diperhatikan isterinya, Jismah Abu Bakar,68, dan ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Ann selepas menerima bantuan di Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Buntu selepas terputus bekalan makanan mendorong Masrol Nizam. Md. Daud,37, mengibar bendera putih di rumahnya di Kampung Kolam di sini dengan harapan nasib dia dan isterinya yang lumpuh itu mendapat perhatian mana-mana pihak.

Masrol Nizam yang terpaksa berhenti kerja sebagai buruh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain perlu menjaga isterinya, Jismah Abu Bakar, 68, yang diserang strok sejak 11 bulan lalu, ada menerima bantuan sebelum ini, namun, bekalan itu habis sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann yang mendapat maklumat mengenai situasi tersebut segera bergegas ke kediaman pasangan tersebut bagi menghulurkan bantuan dan keperluan makanan.

Masrol memberitahu, dia yang buntu selepas kehabisan stok makanan terlintas untuk mengibarkan bendera putih selepas mengetahui mengenai perkara tersebut di media sosial beberapa hari lalu.

“Alhamdulilah, selepas mengibar bendera tersebut, wakil rakyat di sini terus datang serta-merta menghulurkan bantuan. Sebelum ini, kami sering menerima bantuan, namun, bekalan makanan tersebut sudah habis.

“Saya tidak tahu hendak buat apa, kerja pun tidak ada manakala isteri pula terlantar. Selepas melihat kempen (kibar bendera putih), saya mencuba melakukannya dan alhamdulilah terus ada pihak memberikan bantuan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Masrol, anak tirinya ada memberikan bantuan sebanyak RM150 sebulan bagi menjaga ibu mereka yang sedang sakit itu.

Sementara itu, Chai Ann yang mengunjungi pasangan tersebut memberitahu, dia menerima maklumat mengenai perkara tersebut daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan berkenaan dan segera ke kediaman itu memberikan bantuan.

Selain itu, katanya, beliau juga akan melihat keperluan lain bagi membantu pasangan berkenaan khususnya daripada aspek bantuan bulanan atau sebagainya.

“Saya juga meminta JPKK untuk memantau sepanjang masa perkembangan agar mereka yang kekurangan itu, dapat dibantu.

“Kita sentiasa tampil memberikan bantuan sama ada pasang bendera putih atau tidak. Menjadi rutin saya untuk masuk ke kawasan-kawasan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini bagi menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN