Beruang matahari masuk perangkap di Kampung Jimah Lama - Utusan Malaysia

Beruang matahari masuk perangkap di Kampung Jimah Lama

ANGGOTA Jabatan Perhilitan memeriksa seekor beruang matahari yang telah memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Jimah Lama, Port Dickson malam semalam.-IHSAN JABATAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seekor beruang matahari jantan berjaya ditangkap di Kampung Jimah Lama dekat sini setelah memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) malam tadi.

Beruang matahari seberat 40 kilogram itu ditangkap pada pukul 8.30 malam tadi selepas ia memasuki perangkap yang diletakkan di kawasan ladang kelapa sawit di kampung itu sebelum ini.

Pengarah Jabatan Penghilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya mula memasang perangkap pada 18 Jun lalu selepas menerima aduan daripada penduduk bahawa terdapat dua ekor beruang matahari sesat di kampung berkenaan.

“Kami telah berjaya menangkap seekor beruang matahari jantan seberat 40 kilogram dalam keadaan sihat dan difahamkan oleh pengadu masih ada seekor lagi beruang matahari yang belum ditemukan.

“Bagaimanapun, kami ada memasang satu perangkap di kawasan berkenaan sehinggalah seekor lagi beruang itu dijumpai,” katanya hari ini.

Pada 20 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan penduduk Kampung Jimah Lama dekat sini, dikejutkan dengan kelibat seekor beruang matahari yang kelihatan di atas sebatang pokok di kampung tersebut tiga hari sebelum itu.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Othman Shamsuddin berkata, penduduk mendakwa terdapat sepasang beruang matahari dan keadaan itu membimbangkan penduduk sekiranya mereka terserempak dengan haiwan itu.

Dalam pada itu, Wan Mat menasihatkan sekiranya mana-mana penduduk yang menemui beruang berkenaan supaya berhati-hati dan berwaspada.

“Beruang ini berbahaya dan boleh melakukan provokasi malah ia boleh menyerang balik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya