PUTRAJAYA : Operasi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) akan diteruskan sehingga semua penduduk dibanci atau liputan penuh dapat dicapai.
Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ini termasuk pengumpulan data menggunakan kaedah Computer Assisted Telephone Interview (CATI) memandangkan bancian secara bersemuka tidak dapat dijalankan buat masa ini berikutan situasi Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa Pertama.
“Keputusan ini diambil dalam menyokong usaha kerajaan membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Uzir, berdasarkan respon yang diterima sehingga kini, seramai 22.5 juta atau 68.9 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia pada tahun 2020 telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.
Justeru, katanya, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru memberikan kerjasama dengan mengisi maklumat melalui e-Census atau sistem panggilan telefon CATI.
“Sekiranya memerlukan maklumat lanjut, sila layari portal www.mycensus.gov.my atau berhubung terus dengan pejabat Jabatan Perangkaan Negeri berdekatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE