PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mengenal pasti SELangkah, aplikasi dibagunkan kerajaan Selangor membuat tempahan vaksin AstraZeneca dalam jumlah ramai tanpa persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin tersebut.
Dalam satu kenyataan, CITF berkata, ia dikenal pasti sebagai punca ada sebilangan individu yang diberikan tarikh janji temu vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.
Menurut beliau, ini termasuk aduan janji temu yang diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.
“Semakan dan siasatan mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin AstraZeneca.
“CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama,” katanya di sini semalam.
CITF berkata, pihaknya telah menghubungi salah satu kumpulan yang membuat tempahan slot dalam jumlah ramai menerusi aplikasi SELangkah.
“Pihak SELangkah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit dan memastikan individu terbabit akan mendapatkan semula anji temu yang ditempahnya sebelum ini.
“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN