PKP: Pajak emas di Ar-Rahnu melonjak - Utusan Malaysia

PKP: Pajak emas di Ar-Rahnu melonjak

Sejak pelaksanaan PKP ramai cari Ar-Rahnu untuk pajak barang kemas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Desakan hidup menyebabkan ramai terpaksa menggadai barang kemas biarpun ia adalah aset simpanan masa depan yang lebih jauh.

Situasi itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu yang menyaksikan ramai terkesan sehingga ada yang diberhentikan kerja dan menutup perniagaan sekali gus mereka terputus pendapatan.

Berikutan itu, mereka tiada pilihan untuk mendapatkan wang tunai segera selain menuju perkhidmatan pajak gadai seperti ditawarkan Ar-Rahnu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Memuatkan artikel berkaitan…

Memberitahu Utusan Malaysia, pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan berkata, desakan kumpulan itu terbukti apabila transaksi gadaian direkodkan Ar-Rahnu meningkat selepas Mei tahun lalu berbanding semasa tempoh pelaksanaan PKP pada Mac dan April pada tahun sama.

Trend tersebut sekali gus menunjukkan masyarakat sangat memerlukan khidmat Ar-Rahnu bagi mendapatkan wang tunai demi kelangsungan perniagaan atau sara hidup.

Menurut beliau, bagi tempoh bulan Mei sahaja, nilai gadaian pelanggan RM185.4 juta dengan jumlah pembiayaan RM117 juta bersamaan 47,870 transaksi melalui 1,391 pelanggan.

Katanya, berbanding pada April, jumlah itu merekodkan nilai gadaian RM30.9 juta dengan jumlah pembiayaan RM19 juta membabitkan 8,298 transaksi melalui 414 pelanggan.

“Jumlah nilai gadaian tertinggi direkodkan pada bulan Julai iaitu sebanyak RM249.2 juta dengan jumlah pembiayaan RM165.3 juta kepada 4,646 pelanggan melalui 69,883 transaksi.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 643,524 transaksi gadaian melibatkan 46,428 pelanggan dengan jumlah pembiayaan RM1.37 bilion direkodkan Ar-Rahnu,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam tempoh 10 tahun sehingga 31 Disember tahun lalu, prestasi terkumpul Ar-Rahnu Yapeim berjumlah RM11.158 bilion dengan jumlah transaksi gadaian sebanyak 6.19 juta kepada 769,252 pelanggan.

“Mengikut data 10 tahun, sebanyak 93.05 peratus daripada keseluruhan 769,252 pelanggan adalah Melayu dan sebanyak 61.74 peratus (474,935 orang) membabitkan wanita,’’ katanya.

Parihah berkata, walaupun jumlah pembiayaan pada tahun 2020 hampir sama dengan 2019 iaitu sekitar RM1.37 bilion tetapi dari segi jumlah transaksi dan pelanggan, tahun 2019 menyaksikan jumlah lebih ramai iaitu sebanyak 768,709 melalui 62,456 pelanggan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan gadaian yang dilaksanakan, tujuan gadaian tertinggi adalah untuk perniagaan meliputi 23.13 peratus dan kedua tertinggi pula pengajian anak-anak (21.76 peratus).

“Program Mikrokredit Ar-Rahnu Yapeim adalah salah satu aktiviti di bawah perniagaan sosial, komited menawarkan kemudahan pembiayaan mikro kredit secara mudah, cepat dan amanah.

“Ini termasuk kepada golongan berpendapatan rendah untuk kegunaan aktiviti-aktiviti yang produktif seperti bagi tujuan modal perniagaan, pendidikan selain alternatif kepada masyarakat memenuhi keperluan tunai melalui transaksi gadaian berlandaskan hukum syarak,” katanya.

Beliau menjelaskan, Ar-Rahnu Yapeim akan memperkenalkan inisiatif bagi memperkasa golongan wanita dalam keusahawanan melalui Arrahnu Biznita dan Produk Arrahnu Care untuk membantu pelanggan yang memerlukan tunai segera bagi tujuan kecemasan dan terkesan akibat Covid-19.

“Produk Arrahnu Care yang bermula awal Disember tahun lalu iaitu satu bentuk bantuan segera dengan pembiayaan maksimum RM5,000 kepada setiap pelanggan dan hanya mengenakan upah simpan rendah bagi tujuan keperluan masyarakat kerana kehilangan pekerjaan, sakit kronik, kebakaran, kematian ketua keluarga, bencana alam atau kemalangan terutama dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ar-Rahnu Yapeim turut memberikan moratorium kepada pelanggan melalui pengecualian bayaran upah simpan dalam tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 9 Jun tahun lalu.

“Ia adalah di bawah pakej Musaadah Yapeim dengan seramai 36,613 orang pelanggan telah menikmati moratorium Ar-Rahnu dengan jumlah keseluruhan RM689,147.

“Moratorium ini dengan memberikan kebenaran penangguhan penebusan bagi gadaian yang telah mencapai tempoh maksima 10 bulan dan ke atas semasa tempoh PKP serta pengecualian bayaran upah simpan ke atas gadaian yang mencapai tempoh sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×