Penceramah dari kawasan PKPB tidak dibenarkan beri ceramah di NS - Utusan Malaysia

Penceramah dari kawasan PKPB tidak dibenarkan beri ceramah di NS

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban dekat sini hari ini.- FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebagai langkah pencegahan mendepani peningkatan kes Covid-19, kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti ceramah di surau dan masjid di negeri ini yang melibatkan penceramah atau pentazkirah dari kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketetapan yang diambil menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Khas Covid-19 yang diadakan baru-baru ini itu juga, turut melibatkan penceramah dari kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19.

“Penceramah atau pentazkirah dari kawasan yang melaksanakan PKPB atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19 adalah tidak dibenarkan.

“Penceramah, pentazkirah, guru takmir atau mana-mana individu yang menetap di Negeri Sembilan tetapi bertugas di kawasan yang melaksanakan PKPB atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19 adalah juga tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Tambah Aminuddin, keputusan sebagai tambahan kepada langkah-langkah yang telah dinyatakan sebelum ini itu juga memutuskan semua aktiviti agama Islam khususnya di masjid dan surau boleh berjalan seperti sedia ada dengan mematuhi ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Bagaimanapun, mana-mana ceramah hendaklah mendapat kebenaran penganjuran program dari Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

“Semua majlis pengajian ilmu yang menggunakan dewan, bilik kuliah serta ruang yang berkenaan di dalam kawasan masjid adalah dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa dengan jumlah kapasiti yang telah ditentukan,” katanya lagi.

Katanya lagi, mesyuarat jawatankuasa tersebut juga memutuskan semua sektor ekonomi khususnya melibatkan kedai serbaneka dan kedai makan yang sebelum ini dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi disarankan untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam sahaja.

“Syor ini dicadangkan bagi mengawal dan menangani impak penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan dengan menghadkan masa pergerakan masyarakat tanpa menjejaskan perkembangan sektor ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya