Terjun udara tiga sekeluarga catat rekod Asia - Utusan Malaysia

Terjun udara tiga sekeluarga catat rekod Asia

DARI kiri: Dr. Sani Sayuthi, Izzat Izuddin dan Wan Razlila Wan Hassan setelah berjaya melakukan terjunan udara di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Perajk semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun mempunyai cara unik meraikan sambutan Hari Malaysia apabila memenuhi impian melakukan terjunan udara sekeluarga di Lapangan Terbang Tekah di sini hari ini.

Mereka ialah Dr. Sani Sayuthi, 51, pakar bedah neorologi (saraf dan otak) di sebuah hospital di Ayer Keroh, Melaka, isterinya, Wan Razlila Wan Hassan, 41, jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Bangi, Selangor dan anak lelaki kedua mereka, Izzat Izuddin, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka .

Mereka merupakan antara 32 peserta yang menyertai acara terjunan udara dari ketinggian 1,372 meter anjuran Raftabina Skydive Aerosport Club.

Mereka dipercayai telah mencatat rekod Asia sebagai terjunan udara pertama yang dilakukan oleh sebuah keluarga manakala Izzat Izuddin mencatat nama sebagai penerjun udara termuda yang melakukan penerjunan secara solo.

Dr. Sani berkata, terjunan hari ini adalah yang pertama dilakukan oleh mereka setelah sebelum ini melakukan aktiviti lasak seperti snorkeling, menyelam skuba, mendaki gunung dan sebagainya.

Menurutnya, mereka melakukan terjunan udara hari ini kerana ia merupakan antara perkara yang tercatat dalam impian untuk mereka lakukan bersama-sama.

“Perasaan saya sangat seronok kerana dapat merealisasikan impian kami sekeluarga.

“Saya berasa santai ketika di udara dan agak mencabar bagi saya yang pertama kali melakukan terjunan udara,” katanya di sini hari ini.

Izzat Izuddin berkata, dia tidak rasa gementar untuk melakukan terjunan dari pesawat Caravan 208 yang membawa mereka.

“Saya rasa seronok apabila melihat ibu bapa saya yang lebih awal membuat terjunan. Saya pasti akan melakukannya lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Wan Razlila berkata, pada awalnya semasa menaiki pesawat, dia agak berdebar-debar.

“Namun setelah melakukan terjunan, keseronokannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya