MELAKA: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM1,950 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap satu kes melibatkan perlindungan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Tertuduh, Mohd. Nazrul Md. Yasin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Nazrul yang merupakan seorang pegawai penguat kuasa imigresen didakwa menerima wang suapan daripada seorang lelaki warga emas sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap anak lelaki terbabit yang dipercayai melindungi seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Mengikut lima pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM300 bagi setiap transaksi daripada Muhammad Omar, 69, menjadikan keseluruhannya RM1,500.
Wang tersebut didakwa diterima sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Nurul Alya, 23, yang disyaki melakukan kesalahan melindungi warga asing dikenali sebagai Kusmiyati di sebuah premis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Muar, Merlimau, Jasin antara 1 Januari hingga 31 Mei 2025.
Bagi dua lagi pertuduhan, Mohd. Nazrul didakwa menerima masing-masing RM300 dan RM150 melalui pindahan wang secara dalam talian daripada akaun bank milik Nurul Alya ke akaun bank milik Noryati Hasan, 73, bagi tujuan yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 3 Jun hingga 10 Julai 2025 di lokasi yang sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Mohd. Nazrul yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan beliau telah ditahan kerja selain perlu menanggung ibu dan empat orang anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta mengekalkan semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. – UTUSAN










