SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki Rohingya yang didakwa menyebabkan kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan pelajar sekolah di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, lelaki terbabit dikatakan menunggang motosikal dari arah Padang Jawa lalu membelok ke kanan menuju ke pusat perniagaan namun didakwa gagal memastikan keselamatan pengguna lain sebelum memasuki simpang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, tindakan pelarian itu menyebabkan seorang penunggang motosikal warga tempatan bersama anak lelakinya dari arah bertentangan bertembung dengannya.
“Lelaki bersama anaknya terlanggar sisi kiri motosikal ditunggangi lelaki Rohingya itu yang sedang memasuki simpang berkenaan.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan ringan luka di tangan dan bahu menerima rawatan di Hospital Shah Alam, sementara anaknya pula diberikan pemantauan oleh petugas perubatan di hospital sama sebelum dibenarkan pulang, semalam,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan bolehlah tampil ke ke hadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” ujarnya.]
Terdahulu, insiden tersebut tular dalam media sosial dan lelaki Rohingya itu dikatakan cuba melarikan diri selepas kemalangan terbabit. – UTUSAN










