SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki yang ditemukan di dalam parit dekat Seksyen 15 di sini didapati meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira pukul 5.40 pagi, semalam.
Mangsa dikatakan sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya dekat Seksyen 25, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikalnya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Mangsa berusia 40-an kemudian terjatuh ke dalam parit dan mengalami cedera parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
“Laporan bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9 pagi hari ini menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dadah akibat kemalangan kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097,” ujarnya. – UTUSAN










