653kg bunga ganja cuba diterbangkan dari KLIA sejak Januari

653kg bunga ganja cuba diterbangkan dari KLIA sejak Januari

Bunga ganja KLIA
SHAZELI Kahar menunjukkan sebahagian daripada 270 ketulan mampat bunga ganja dirampas pada sidang akhbar dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih setengah tan metrik bunga ganja dirampas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Januari tahun ini melibatkan tangkapan 38 individu termasuk warga asing.

Kesemua dadah jenis organik tersebut difahamkan bernilai lebih RM50 juta dibawa masuk ke terminal udara utama negara sebagai lokasi transit dari negara-negara di Asia Tenggara sebelum diterbangkan ke Eropah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada kesemua yang ditahan, seramai 28 individu sudah pun dituduh di mahkamah.

“Rampasan-rampasan 653.6 kilogram (kg) bunga ganja itu, hasil siasatan dan risikan kita percaya dadah tersebut dibawa masuk dari negara-negara sekitar ASEAN. Ada permintaan juga (dalam kalangan pengguna tempatan).

“Kadar permintaan terhadap bunga ganja di negara ini pula berbeza-beza, ada negeri yang mendapat permintaan tinggi. Tetapi di Selangor, permintaannya tidak sama dengan negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, baru-baru ini menerusi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Nilai dan Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), sebanyak 171.6kg lagi bunga ganja bernilai kira-kira RM13.73 juta dirampas.

Menurut Shazeli, rampasan melibatkan penemuan bagasi-bagasi di Terminal 1 KLIA sebelum serbuan terhadap sebuah unit kediaman dekat Banting, Kuala Langat yang dijadikan pusat penyimpanannya diserbu.

Sebanyak 270 ketulan mampat bunga ganja dalam enam bagasi dan empat guni masing-masing dirampas di KLIA dan rumah terbabit.

“Sindiket pengedaran dadah berasingan di KLIA ditumpaskan antara 17 hingga 22 Jun lalu dan polis turut menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing yang dipercayai berperanan dalam rangkaian pengedaran bahan terlarang itu.

“Tiga warga asing salah seorangnya dipercayai dari Eropah dan dua lagi dari negara di Asia Tenggara dan Asia Timur. Ujian saringan urin mendapati kesemua suspek negatif.

“Malah, suspek yang ditangkap dalam kes pertama pada 17 Jun didapati pernah melakukan kegiatan itu di lapangan terbang sama, namun akhirnya tertangkap selepas mencuba untuk kali kedua,” jelasnya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari dari tarikh ditangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN