KLANG: Seramai 270 daripada 586 pekerja asing diperiksa oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dekat dua premis kilang di Meru dan Telok Gong dikesan menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa di negeri ini.
Kesemua warga asing dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka itu dikesan menerusi pemeriksaan seramai 66 pekerja di Meru dan 520 di Telok Gong secara berasingan dalam Operasi (Op) Mega yang bermula kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Selangor, Mohd. Khusairi Kamarudin berkata, di Meru pemeriksaan dibuat pekerja sebuah kilang plastik dan mendapati 18 daripadanya disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen.
“Serbuan kedua di sebuah kilang perabot di Telok Gong pula memeriksa 520 pekerja asing dan 252 daripadanya ditahan meliputi warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut di sini, hari ini.
Ketika serbuan dilakukan di kedua-dua lokasi, kesemua warga asing berusia 18 hingga 50 tahun itu sedang bekerja dan segelintir mereka bertempiaran lari cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Malah, di Telok Gong, terdapat warga Bangladesh sanggup menyorok di sebalik timbunan sampah dalam sebuah tong roro, namun akhirnya dikesan selepas pemeriksaan dilakukan di setiap kawasan dalam premis.
Selain itu, ada juga pekerja asing yang cuba bersembunyi di sebalik kotak dan mesin pemotong kayu untuk mengelak daripada ditahan.
Jelas Mohd. Khusairi, semakan awal mendapati kebanyakan kesalahan yang dikesan melibatkan tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas.
“Ada individu mendakwa memiliki pas yang sah namun gagal mengemukakan dokumen itu ketika pemeriksaan dilakukan. Majikan perlu sentiasa peka dengan status dan keberadaan pekerja asing yang diambil bekerja termasuk memastikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) digunakan mengikut lokasi serta sektor diluluskan,” ujarnya.
Beliau menambah, kes itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 terlebih dulu dan bahagian siasatan akan menentukan seksyen berkaitan kelak. – UTUSAN










