SEPANG: Dua lelaki warga asing ditahan polis dipercayai menjalankan aktiviti mengemis di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi di kawasan Anjung Tinjau, Aras 5, Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA.
Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat yang diterima sebelum sepasukan anggota polis bantuan KLIA bertindak menahan suspek yang dilihat meminta sedekah daripada pengunjung.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan warga Tajikistan dan Palestin serta tidak memiliki sebarang pasport atau dokumen perjalanan yang sah ketika berada di negara ini.
“Mereka dipercayai menggunakan modus operandi menghampiri orang awam bagi meraih simpati untuk mendapatkan wang,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kedua-dua lelaki itu juga dipercayai individu yang sama seperti dipaparkan dalam video tular berkaitan kegiatan mengemis di kawasan KLIA baru-baru ini.
Ravi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa pas atau permit sah.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna KLIA 1 dan KLIA 2 dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang cuba meraih simpati bagi tujuan menda²patkan wang. – UTUSAN










