Upah RM1,000 untuk edar syabu 1.5kg bernilai RM69,000  

Upah RM1,000 untuk edar syabu 1.5kg bernilai RM69,000  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Polis melumpuhkan kegiatan mengedar dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing selepas menahan seorang lelaki serta merampas syabu bernilai RM69,080 dalam sebuah kereta di Jalan Kukup, Kampung Penerok, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, cubaan lelaki tersebut gagal apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pontian mengesan kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.15 malam.

Katanya, kenderaan e-hailing itu dipandu seorang wanita berusia 43 tahun sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil semula untuk memberi keterangan.

“Manakala suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun, ditahan bersama 1,528 gram (g) dadah syabu bernilai RM69,080. Suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku menerima tugasan untuk menghantar dadah tersebut daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali semasa berada di Penjara Simpang Renggam pada 2020. 

“Suspek dibayar upah RM1,000 dan menerima arahan berhubung lokasi pengambilan dan penghantaran dadah menerusi telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki tempatan di Kuala Lumpur yang dipercayai akan diseludup ke Indonesia.

“Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN