PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang merosakkan cermin sisi sebuah kereta di kawasan Cheras sehingga tular di media sosial.
Ia susulan laporan polis yang dibuat pada pukul 8.40 malam tadi mengenai satu video memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta yang dimuat naik di TikTok oleh pemilik akaun @cyberjayaviral.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku di kawasan Cheras dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih dalam siasatan untuk mengesan suspek dan pemilik kereta serta mengenalpasti pemilik akaun TikTok.
“Kita sedang memperoleh maklumat daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video memaparkan lelaki memandu Honda HRV keluar dari kereta sebelum merosakkan cermin sisi kereta lain sebelum dia beredar. – UTUSAN







