KLANG: Pemandu mabuk yang dipercayai merempuh seorang penunggang motosikal sehingga meninggal dunia semalam direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat yang menetapkan tempoh reman berkuatkuasa sehingga Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki terbabit sedang dijalankan.
Semalam, pemandu kereta Honda City itu didakwa merempuh sebuah motosikal dekat Jalan Raya Barat, di sini dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
Jit Huey dilapor memaklumkan, siasatan awal mendapati lelaki berusia 20-an itu memandu ke arah Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
“Di lokasi kejadian, pemandu berkenaan memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang berada di laluan tersebut.
“Akibat insiden itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30-an tercampak ke atas sebuah kereta Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Jelasnya, ujian saringan terhadap pemandu terbabit juga didapati positif alkohol dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










