PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucutkan hak aset luar negara milik Putera Turki Abdullah Al-Saud, kelmarin.
Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 56(1), 59, dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram.
Aset-aset tersebut melibatkan sejumlah AS$115.3 juta yang disimpan dalam beberapa akaun bank Switzerland, termasuk JP Morgan (Suisse) SA dan UBS Switzerland AG.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi.
Beliau berkata suruhanjaya itu komited untuk memastikan sebarang hasil yang diperoleh melalui aktiviti haram diambil tindakan sewajarnya menurut lunas perundangan yang berkuat kuasa.
Tambah beliau, undang-undang membenarkan SPRM memohon pelucutan aset yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, tertakluk kepada perintah mahkamah.
Pada Oktober tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah mahkamah bagi menghalang transaksi wang berjumlah AS$115,320,661.63 (kira-kira RM486.4 juta) yang disimpan dalam tiga akaun perbankan di Switzerland atas nama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Perintah penghalang itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), susulan permohonan yang difailkan SPRM pada 7 Oktober tahun lalu.
Menurut SPRM, permohonan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diterima sejak 2011 bahawa individu berkenaan dipercayai menerima, memindahkan dan menggunakan dana yang dikaitkan dengan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun perbankan miliknya.
Melalui perintah itu, SPRM berjaya menghalang transaksi melibatkan AS$87,148,732.89 dan AS$12,777,759.74 dalam dua akaun di JP Morgan, serta AS$15,394,169 dalam satu akaun di UBS Switzerland. – UTUSAN










