KLANG: Sebanyak 158.17 tan metrik sisa elektronik atau e-waste dalam enam kontena disita dekat Pelabuhan Barat, di sini, semalam.
Kesemua itu adalah sebahagian daripada sembilan kontena yang diperiksa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempatan (AKPS) di tapak pemeriksaan kontena di 01RG sebelum dikesan membawa dagangan yang tersenarai dalam larangan import di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua kontena itu dikesan kira-kira pukul 5 petang oleh AKPS Pelabuhan Klang yang diketuai ketuanya, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal.
Operasi tersebut diadakan bersepadu melibatkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pengurusan Pelabuhan Barat (Westport), Lembaga Pelabuhan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan SIRIM.
“Hasil pemeriksaan menahan enam kontena yang membawa dagangan tersenarai sebagai larangan mengimport.
“Rampasan sisa elektronik itu melibatkan papan litar (lebih 225 tan), fius termasuk kegunaan industri (lebih 24 tan, bahan tembaga (lebih 23 tan) dan wayar kuprum (lebih 30 tan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kontena-kontena yang mengandungi e-waste itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan penghantaran pulang.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.
“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya. – UTUSAN










