Polis tumpas dua sindiket penipuan atas talian sasar warga China 

Polis tumpas dua sindiket penipuan atas talian sasar warga China 

Sindiket penipuan
SHAZELI Kahar menunjukkan rampasan peralatan seperti telefon bimbit, set komputer dan router yang digunakan sindiket penipuan dalam talian pada sidang akhbar, di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor,  di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua sindiket penipuan atas talian yang beroperasi di kawasan Sun Suria City, Sepang sejak Oktober lalu tumpas menerusi dua serbuan berasingan pada 26 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam operasi pertama, seramai 14 individu bukan warga negara telah ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita berusia 25 hingga 37 tahun.

Katanya, operasi pertama dijalankan kira-kira pukul 1 tengah hari membabitkan serbuan di sebuah premis kediaman yang digunakan sebagai pusat panggilan atau call centre.

“Dalam serbuan tersebut, polis merampas 11 telefon bimbit, tiga set komputer dan satu ‘router’ dengan nilai rampasan sekitar RM20,000

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan penipuan cabutan bertuah secara atas talian menggunakan aplikasi QQ sebagai platform iklan bagi menarik warganegara China membeli nombor kononnya menawarkan hadiah wang tunai,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya, bagi operasi kedua, serbuan dilakukan pada hari sama kira-kira pukul 5 petang di sebuah lagi premis kediaman dalam kawasan yang sama.

Katanya, serbuan tersebut membawa kepada tangkapan 10 individu bukan warga negara terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 35 tahun.

“Polis turut merampas 16 telefon bimbit, tujuh komputer riba, tiga set komputer dan dua router dengan nilai anggaran RM40,000.

“Siasatan awal menunjukkan sindiket ini menjalankan penipuan pelaburan Forex atas talian dan turut menyasarkan mangsa warganegara China,” katanya.

Katanya, kesemua 24 suspek memasuki Malaysia secara sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  menggunakan pas lawatan sosial dan pas pekerja.

“Kumpulan tersebut menyewa rumah teres tiga tingkat dengan kadar RM5,800 sebulan bagi operasi pertama, manakala RM5,300 bagi premis kedua. Setakat ini tiada pembabitan warga tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN