PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang lelaki warga India yang menyalah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan bekerja sebagai pemandu pelancong sejak seminggu lalu.
Penahanan lelaki berusia 23 tahun itu dilakukan pada Jumaat lalu selepas dia dikesan menerima kadar upah RM80 bagi setiap trip perjalanan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki terbabit yang baharu saja bekerja sebagai pemandu pelancong ditahan pada di Kilometer 9 Jalan Klang, Banting dekat sini.
Menurutnya, semakan mendapati kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki dan digunakan lelaki warga India itu untuk membawa pelancong dengan menyalah guna LKM.
“Dia mengaku menerima kadar upah RM80 setiap trip perjalanan pergi dan balik dan baru seminggu menjalankan kegiatan itu.
“JPJ memandang berat mengenai isu ini kerana boleh menjejaskan pemandu warganegara Malaysia yang mempunyai permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kenderaan itu disita dan pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan.-UTUSAN










