SHAH ALAM: Mangsa kes tembak dekat stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang pada Jumaat lalu disahkan mempunyai rekod berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, malah mangsa berusia 34 tahun itu juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan di bawah akta tersebut.
“Mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah sebelum ini dan SOSMA antara salah satunya. Setakat hasil semakan rekod menunjukkan mangsa dikehendaki bersabit SOSMA itu,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti motif kejadian tersebut termasuk dalam menentukan sama ada mangsa terlibat dalam kumpulan haram atau gangster.
“Siasatan menjurus pelbagai aspek kerana latar belakang mangsa. Justeru kita tidak boleh merumuskan kepada satu aspek sahaja (kepada kongsi gelap),” jelasnya.
Namun, sehingga hari ini polis sudah mengambil tujuh keterangan termasuk isteru dan ahli keluarga mangsa serta saksi kejadian.
“Punca kematian berdasarkan kesan beberapa das tembakan pada dada dan perut. Jasad mangsa diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian pada 9 November lalu,” ujarnya.
Utusan Malaysia seorang lelaki maut akibat ditembak dua suspek pada bahagian hadapan badannya dekat sebuah stesen minyak Petronas pada pukul 11.13 malam, 7 November lalu.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang tidak bekerja itu didapati ditembak beberapa kali oleh seorang penyerang yang menunggang motosikal. – UTUSAN










