SHAH ALAM: Polis mengesahkan seramai 14 individu ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam dalam operasi pengosongan dan perobohan rumah dekat Kampung Papan, Pandamaran di Klang, sejak Isnin lalu hingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua ditahan terdiri daripada anggota organisasi bukan kerajaan (NGO), namun tidak melibatkan penduduk kampung berkenaan.
“Tangkapan dibuat ekoran laporan-laporan yang dibuat oleh pihak yang melaksanakan arahan perobohan tersebut melibatkan 11 lelaki dan tiga wanita.
“Namun semuanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal dilaksanakan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, kesemua ditahan itu di siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih separuh penduduk yang diarahkan keluar dari rumah di kampung berkenaan adalah warga emas yang menetap di kawasan tersebut sekurang-kurangnya 40 tahun.
Sejak operasi hari pertama pada Isnin lalu, lebih 70 rumah sudah dirobohkan melibatkan 83 daripada 181 rumah yang masih berpenghuni. Namun, 44 rumah mendapat perintah penggantungan sementara (injunksi) yang akan disebut semula pada 8 Disember ini.
Shazeli berkata, lebih 100 anggota termasuk dari Unit Pasukan Penggempur Ringan (LSF) digerakkan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman di Kampung Papan sepanjang operasi pengosongan dan perobohan yang berakhir hari ini.
“Bukan hanya polis, ada agensi lain terbabit contohnya syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, pekerja kontrak dan juga pihak bailif mahkamah.
”Kita buat persiapan untuk mengelakkan kekecohan di kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










