Sindiket bekal dadah guna kereta mewah di Selangor, Johor tumpas

Sindiket bekal dadah guna kereta mewah di Selangor, Johor tumpas

Dadah Selangor, Johor
SHAZELI Kahar menunjukkan bahagian but belakang sebuah Mercedes GLC250 yang diubah suai dipercayai bagi penyimpanan dadah, pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah bagi bekalan sekitar Lembah Klang, Selangor dan Johor tumpas selepas sejumlah 223 kilogram (kg) bahan terlarang itu bernilai RM25.15 juta dirampas dalam dua kes berasingan.

Kes pertama melibatkan penahanan lima lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun pada 1 Oktober lalu dekat dua buah rumah di Subang Jaya dan menemukan dadah jenis syabu, pil dan serbuk ekstasi serta heroin dan heroin base seberat kira-kira 140 kg.

Selain itu, polis turut merampas 17 botol berisi cecair kimia dan tiga botol serbuk kimia.

Bagi kes kedua, dadah jenis syabu dan pil ekstasi seberat 83.8 kg dirampas polis dalam serbuan terhadap sebuah kereta Mercedes GLC250, yang ditahan di tepi jalan kelmarin di sekitar Serdang dan menahan seorang lelaki berusia 39 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagi kes pertama, rumah pertama yang diserbu disyaki hendak dijadikan makmal pemprosesan dadah sementara rumah kedua pula sebagai pusat penyimpanannya.

Menurutnya, ketika serbuan, suspek dipercayai sedang dalam keadaan bersedia untuk menghantar dadah.

“Bagi kes pertama, suspek pertama, keempat dan keenam merupakan penganggur, manakala suspek kedua bekerja sebagai jurujual kereta, suspek ketiga merupakan pengurus cawangan sebuah syarikat swasta dan suspek kelima pula bekerja sebagai penjual haiwan peliharaan.

“Hanya suspek ketiga tidak mempunyai rekod lampau, yang lain masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek bagi kes kedua pula bekerja sebagai mekanik, menjual alat ganti dan membaiki kereta import secara sambilan serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, kedua-dua kes tidak mempunyai kaitan, namun kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin selepas ujian air kencing dilakukan.

Selain itu, polis turut menyita kereta mewah iaitu sebuah Infinity Q50 2.0T 7(A) dan Honda CRV Black Edition serta Mercedes GLC250 yang diubah suai masing-masing dianggarkan bernilai RM45,000,  RM110,000 dan RM158,350 selain wang tunai sebanyak RM3,350.

“Keenam-enam suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

“Kesemua dadah yang dirampas dijangka boleh dibekalkan kepada 750,000 penagih dalam satu-satu masa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN