Penghantar barangan nekad tinggal kereta berisi ekstasi

Penghantar barangan nekad tinggal kereta berisi pil ekstasi RM4.3 juta

Ekstasi
SHAZELI Kahar menunjukkan bunguksan dadah dan pil ekstasi yang dirampas polis menerusi tangkapan terhadap seorang lelaki di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dua lelaki warga India di Kajang, pada sidang akhbar dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penghantar barang nekad meninggalkan kereta dipandunya yang tersimpan pil ekstasi berjumlah RM4.3 juta di sekitar Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 23 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 33 tahun berkenaan dikejar ketika cuba melarikan diri daripada polis.

Bagaimanapun, persembunyian suspek yang masih bujang itu tidak bertahan lama apabila berjaya dicekup di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pukul 10.30 malam, 26 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sabak Bernam mengesan sebuah Perodua Alza dan berlaku insiden mengejar dengan suspek berjaya meloloskan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua bungkusan plastik disyaki dadah ekstasi seberat 25.6 kilogram (kg) dalam kereta tersebut.

“Hasil risikan dan maklumat kemudian berjaya memberkas suspek yang melarikan diri itu bagi tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Jelas Shazeli, pihaknya turut menyita sebuah kereta bernilai RM22,000 dan sejumlah wang tunai mengikut pelucutanhak harta.

“Kita percaya pil ekstasi berkenaan dipercayai mahu dihantar ke negara jiran. Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

Selain itu, kata beliau, polis turut menahan dua lelaki warga India dengan rampasan pil terbabit dan ketamin bernilai RM3.5 juta di kawasan sebuah pangsapuri di Kajang, 24 September lalu.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 4.05 petang itu, dua suspek berusia lingkungan 30-an itu
sedang memunggah dua beg dari sebuah rumah ke sebuah kereta di kawasan parkir.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai ketamin seberat lebih 63kg dan 2kg pil ekstasi termasuk di dalam kediaman sewa suspek,” katanya.

Tambah Shazeli, suspek dipercayai masuk ke negara ini untuk bekerja dengan sindiket dadah dengan hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang daripadanya tiada dokumen perjalanan sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN