SHAH ALAM: Helah seorang penganggur menyembunyikan dadah dalam tabung ekzos motosikal menerusi penghantaran kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbongkar selepas dicekup polis, baru-baru ini.
Penahanan lelaki tempatan berusia 25 tahun itu dilakukan selepas satu kotak parcel mencurigakan dikesan polis bantuan Pos Malaysia, kira-kira pukul 12 tengah hari, 26 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, parcel itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) KLIA bagi tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati kotak berisi lima tabung ekzos motosikal itu mengandungi syabu seberat 2.5 kilogram (kg) bernilai RM80,000. Siasatan mendapati parcel itu mahu dikirim ke luar negara menerusi sebuah syarikat kurier,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, hasil rampasan itu membawa kepada penahanan suspek di sebuah rumah di Hulu Langat, kira-kira pukul 11.30 malam hari sama.
“Suspek yang sudah berkahwin itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan turut didapati positif dua jenis dadah. Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.
Dalam kes berasingan, kata Shazeli, pihaknya turut memberkas seorang lelaki yang sedang menarik sebuah beg bagasi berisi bunga ganja di sekitar Terminal KLIA 2 pada 23 September lalu.
“Suspek tempatan berusia 42 tahun yang bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor binaan disyaki membawa dadah seberat 12.3kg. Nilai rampasan bunga ganja itu berjumlah RM432,000 dan dipercayai mahu dihantar ke luar negara,” jelasnya.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 16 rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah.
“Hasil saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin,” ujarnya. – UTUSAN










