Kastam Selangor tingkat pemantauan rokok seludup

Kastam Selangor tingkat pemantauan rokok seludup susulan kenaikan cukai

Rokok seludup
MOHAMAD Azhar Ahmad Paharazi menunjukkan cerut yang dirampas dalam satu serbuan dekat Zon Bebas Pelabuhan Barat, pada sidang akhbar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor melancarkan operasi membanteras penjualan dan pengedaran rokok serta cerut seludup menjelang pelaksanaan kadar baharu duti eksais bermula 1 November ini.

Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, tindakan agresif itu akan menumpukan kepada premis-premis runcit milik warga asing yang dikenal pasti menjadi pusat jualan utama rokok seludup di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan inisiatif Belanjawan 2026 yang memperkenalkan kenaikan kadar duti eksais — termasuk dua sen bagi setiap batang rokok, serta peningkatan kepada RM40 sekilogram bagi cerut, cheroots dan cigarillos.

“Apabila kadar duti meningkat, permintaan terhadap rokok seludup lazimnya naik. Sebab itu kita akan bertindak lebih agresif dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan tidak ada ruang untuk kegiatan ini berleluasa.

“Kita akan gempur habis-habisan semua kedai yang menjual produk tembakau seludup ini,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Azhar mendedahkan pihaknya merampas 8,750 kilogram cerut dianggarkan bernilai lebih RM6 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di Zon Bebas Pelabuhan Barat, Klang, baru-baru ini.

Siasatan mendapati cerut berkenaan dipercayai diimport dari sebuah negara di benua Asia, dan disembunyikan dalam sebuah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang pada 18 Julai lalu.

“Pengimport dipercayai menggunakan helah dengan membuat pengikraran palsu dalam borang Kastam 1 kononnya membawa masuk barangan minuman bagi mengelak keperluan permit import,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Mohamad Azhar berkata, Kastam Selangor kini memperkukuh kawalan di pintu masuk pelabuhan serta meningkatkan risikan bagi membendung kemasukan rokok haram, terutama menjelang kenaikan cukai yang dijangka memberi kesan kepada pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN