BATU PAHAT: Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak mangsa kelar di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja yang direman selama dua hari bermula semalam dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 41 tahun itu dibebaskan petang semalam selepas selesai diambil keterangan.
Pada Selasa lalu, kedua-duanya ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat selepas mangsa berusia enam tahun cedera di leher selepas dikelar menggunakan senjata tajam. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa berkemungkinan dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.
Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan namun terdapat berkemungkinan ia mempunyai kaitan dengan aplikasi permainan dalam telefon pintar, Roblox. – UTUSAN










