Had bot 12 orang, tekong warga emas ditahan bawa 48 penumpang

Had bot 12 orang, tekong warga emas ditahan bawa 48 penumpang

Had penumpang bot
SEBUAH bot bawa muatan sehingga 48 penumpang ditahan Maritim Malaysia Selangor dekat perairan berhampiran Pulau Ketam, di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tekong warga emas dan dua kru bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor selepas dikesan membawa 48 penumpang berbanding 12 yang dibenarkan berhampiran Pulau Ketam, di sini, semalam.

Mereka didakwa membawa lebih muatan iaitu tambahan 36 orang di atas bot bersaiz 15.25 meter (m) panjang dan 3.66 m lebar bersiar-siar sekitar Pulau Ketam sebelum ditahan pada kedudukan 0.4 batu nautika barat daya pulau berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima aduan awam kira-kira pukul 1.55 petang sebelum menggerakkan pasukan bot peronda Maritim Malaysia ke sana dan menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang melebihi had dibenarkan iaitu seramai 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, susulan penahanan tersebut, bot berkenaan bersama tiga termasuk warga emas itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Selangor.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1992,” tambahnya.

Abdul Muhaimin menegaskan, pihaknya sudah pun beberapa kali memberi amaran kepada pengusaha dan pengendali bot-bot termasuk di Pulau Ketam, namun kes sedemikian masih berulang.

“Tindakan membawa lebihan penumpang ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen,” jelasnya.

Tambahnya lagi, komuniti maritim diingatkan agar mematuhi syarat lesen dan aspek keselamatan penumpang setiap masa, selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN