PETALING JAYA: Satu pengedaran rokok tidak bercukai tumpas selepas empat individu ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan parkir hadapan TNB Kepong Commercial Park, dekat sini pada Ahad lalu.
Penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 44 tahun itu dijalankan pukul 6.50 pagi hasil risikan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, hasil pemeriksaan ke atas enam kenderaan termasuk lori dan van mendapati digunakan untuk memunggah rokok yang disyaki tidak bercukai dari sebuah lori bonded enam tan kepada beberapa kenderaan lain.
“Pelbagai barangan termasuk 3,460,000 batang rokok, tiga van, dua lori dan sebuah kereta Hyundai Starex selain lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama telah dirampas dengan jumlah keseluruhan RM9,526,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan operasi itu dilancarkan bagi mengekang aktiviti perniagaan, penyimpanan serta penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Lumpur.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan pasukan itu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi memberitahu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 218 serbuan di seluruh negara dengan 394 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sejak Januari sehingga 26 Oktober lalu.
Jelas beliau, kesemua mereka ditahan kerana terlibat dalam penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM690.32 juta,” ujarnya.
Azmi menegaskan, PDRM akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejak serta membanteras kegiatan penyeludupan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN







