SHAH ALAM: Satu sindiket judi dalam talian (online) yang menyamar sebagai wanita bagi memikat pelanggan tumpas selepas sebuah rumah teres dekat Sunway Rahman Putra, di Sungai Buloh, digempur polis Sabtu lalu.
Sindiket yang bergiat sejak beberapa bulan lalu itu menggunakan Facebook dengan menyasarkan pelanggan dari luar negara, namun taktik itu terbongkar selepas 34 individu termasuk 33 warga asing berusia 19 hingga 33 tahun ditahan bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan kira-kira pukul 5.10 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
“Siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu menggunakan helah menyamar wanita untuk menarik pelanggan. Mangsa kemudiannya dipujuk supaya mengakses satu laman web perjudian yang diberikan sindiket itu
“Urusan pertaruhan dan pengeluaran wang pula dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dengan menggunakan akaun bank luar negara,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelas Shazeli, sindiket itu dikesan menawarkan beberapa permainan judi dengan anggaran keuntungan mencecah RM2,500 sehari.
“Seorang suspek yang juga warga tempatan dikenal pasti sebagai penjaga premis dan penyelia dengan bayaran gaji RM5,000 sebulan manakala pekerja lain dibayar sekitar RM2,000.
“Mereka bekerja bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam setiap hari. Ujian air kencing semua suspek didapati negatif dan tiada rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Tambah beliau, polis turut merampas 21 set komputer dan 22 unit telefon bimbit yang digunakan sindiket berkenaan.
“Semua suspek direman empat hari sehingga hari ini dan kita akan memohon lanjutan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya. – UTUSAN










