KUALA LANGAT: Pemilikan dadah seorang lelaki terbongkar apabila kereta Cherry yang dipandunya kemalangan dekat Lorong K03 Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini, semalam.
Dadah tersebut ditemukan selepas Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menggerakkan unit peronda membuat pemeriksaan terhadap insiden terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pemeriksaan lanjut polis menemukan dadah disyaki ganja seberat 1.07 gram dan bahan lain juga disyaki dadah jenis syabu dengan berat 1.17 gram di dalam kereta berwarna kelabu itu.
“Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Langat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, warga tempatan berusia 40-an terbabit menghentam bahagian kanan belakang kereta Toyota Corolla Cross dipandu seorang wanita sebelum melanggar tembok pembahagi rumah tol K03 dan K04 lalu terbalik.
“Pemandu kereta Toyota berwarna perak merupakan seorang wanita tempatan berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit pula merupakan seorang pekerja swasta yang didapati tidak mempunyai lesen memandu, mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri, muka dan tangan. Dia dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” tambahnya.
Akmalrizal berkata, kes kemalangan disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu Secara Melulu dan Membahayakan).
“Saksi bebas yang melihat kejadian itu sudah pun hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuala Langat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau terus menghubungi 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN










