PETALING JAYA: Seramai 20 penunggang motosikal yang dipercayai mengancam seorang pemandu kereta dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong dekat sini sedang diburu polis.
Pemandu Perodua Myvi diancam kumpulan itu kira-kira pukul 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pemandu lelaki berusia 52 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan tampil membuat laporan polis sejurus kejadian.
“Kita masih meneliti apa punca sebenar kejadian. Usaha mengesan kira-kira 20 penunggang motosikal terbabit dalam kes ini sedang dijalankan.
“Kea disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Farid berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menyeru saksi tampil memberikan maklumat.
Berdasarkan rakaman klip video tular berdurasi 29 saat, kereta dipandu pengadu dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13.
Kumpulan itu dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta, seolah-olah cuba mengepung serta menghalang laluan kenderaan terbabit.
Seorang daripada penunggang dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu dan menendang pintu di bahagian sama, menyebabkan pemandu memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk. – UTUSAN