Penagih rokok berang ditegur merokok di restoran

Penagih rokok berang ditegur merokok di restoran

Merokok rokok
TANGKAP layar video kejadian gaduh dekat sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Berang ditegur merokok menyebabkan seorang lelaki bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian pukul 11.50 malam itu menimpa seorang wanita hamil dan suaminya yang tidak selesa dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.

Katanya, mangsa yang bimbang dengan kesihatannya kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan lelaki itu namun tidak diendahkan.

“Selepas tiga kali ditegur suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan. Suspek kemudian didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Mohd. Iqbal, mangsa sempat merakam kejadian kerana bimbang suaminya dicederakan.

“Suspek kemudian bertindak menepis tangan mangsa mengakibatkan telefon bimbit mangsa terjatuh. Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang dipenuhi pelanggan,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan di lokasi mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi satu video memaparkan seorang lelaki mendekati pasangan suami isteri dan berlaku insiden tolak menolak di sebuah restoran di Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN