JOHOR BAHRU: Seorang pemandu grab dan seorang pemandu bas cedera selepas kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan fizikal di laluan masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 3 petang.
“Insiden pergaduhan dipercayai berpunca apabila pemandu grab berusia 28 tahun yang membawa kenderaan jenis Toyota Vellfire didakwa telah memasuki laluan bas sehingga berlaku provokasi melibatkan kedua-dua pihak.
“Pemandu bas yang berusia 43 tahun kemudian turun daripada kenderaannya untuk bersemuka dengan pemandu grab, sebelum kedua-duanya bergelut sehingga mengakibatkan kecederaan ringan di kepala, leher dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Raub, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar tentang kejadian itu agar tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihaknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan pergaduhan gempar,” ujarnya mengulas beberapa keping gambar yang tular di media sosial memapar dua individu sedang bergaduh di BSI, Johor Bahru. – UTUSAN










