KLANG: Kedai runcit dan restoran serta sebuah pusat pelacuran dekat kawasan komersial Indah Point dekat Pulau Indah di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Bangla Market’ lumpuh selepas bermaharajalela lebih 10 tahun diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor, malam tadi.
Dalam operasi khas bersama agensi termasuk Imigresen Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu menahan dan memeriksa 1,137 warga asing.
Serbuan terhadap lebih 100 premis di sembilan buah blok yang berlangsung lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam itu menyaksikan pelbagai cubaan melarikan diri oleh warga asing bagi mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa.
Antara yang dikesan termasuklah seorang wanita yang nekad terjun dari tingkat atas bangunan rumah kedai empat tingkat itu, selain beberapa warga asing yang bersembunyi di dalam saluran kumbahan.
Wanita tersebut, Adimanda Sari, 32, berkata, dia nekad terjun selepas mendakwa melihat ramai orang secara tiba-tiba melarikan diri dekat premis berkenaan menyebabkan dia panik dan terjun ke bawah sebelum jatuh ke atas timbunan sampah.
“Saya nampak kawan terjun, saya pun terjun. Saya ada pasport, tetapi pada kawan, sekarang telefon bimbit sudah hilang, tak dapat hubungi kawan untuk hantar pasport.
“Saya tinggal sini pun baru enam bulan, tiga bulan lalu saya balik sebab visa tamat, kemudian datang lagi ke sini. Kini saya bekerja dekat kilang perabot tak jauh dari sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi wanita dari Padang, Indonesia, Norma Yunita, 41, memberitahu, dia tidak menyangka anaknya yang baru tiba dari kampung terpaksa menghadapi pemeriksaan pihak berkuasa.
”Saya ada dua orang anak, lelaki berusia 21 tahun dan perempuan lima tahun. Anak lelaki baru sampai dari kampung kerana cuti semester. Saya dan suami sudah lapan tahun tinggal di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 662 pendatang tanpa izin (PATI) dikesan dalam pemeriksaan tersebut atas pelbagai kesalahan.
“Ada dua orang saya kesan tadi tinggal lebih masa sekurang-kurangnya sebulan. Selain itu ada yang tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja.
“Kita dapat kesan pekerja tersebut dekat kedai-kedai makan apabila mereka dilihat sedang bekerja, namun bila pemeriksaan dibuat mereka rupanya pemegang pas lawatan sosial, justeru kita tangkap,” jelasnya.
Tambahnya, secara keseluruhan mereka yang diperiksa terdiri daripada 10 orang warga Indonesia, Bangladesh (545), India (10), Myanmar (36), Nepal (24), Pakistan (35) yang berusia antara 16 hingga 80 tahun.
“Mereka akan dibawa ke Ibu pejabat Imigresen Selangor untuk diperiksa sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih bagi tindakan lanjut.
”Kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C), Seksyen 6(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.
Aktiviti pelacuran

Serbuan yang disertai 242 pegawai dan anggota pihak berkuasa itu turut membongkar sindiket persundalan yang dijalankan oleh lapan wanita disyaki warga Indonesia, Myanmar dan Vietnam.
Kesemua mereka dipercayai menyewa di premis berkenaan bagi tujuan tersebut dengan kadar sewa sekitar RM400 hingga RM800 sebulan pada bilik yang dilengkapi penghawa dingin.
Bagaimanapun ketika operasi, kesemua mereka dapat meloloskan diri apabila kehadiran pihak berkuasa dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memerhati pergerakan pelanggan keluar dan masuk di rumah kedai yang diubah suai menjadi 13 bilik menggunakan papan plywood.
Antara modus operandi yang dilakukan oleh pengendali pusat pelacuran itu adalah dengan mengawal wanita-wanita tersebut untuk menawarkan perkhidmatan seksual kepada pekerja asing di kawasan berkenaan.
Mereka didakwa menawarkan perkhidmatan tersebut dengan harga bermula RM150 hingga RM300 bergantung kepada pusingan.
Malah, wanita-wanita terbabit turut mempunyai jadual kerja layanan masing-masing serta aturan senarai pelanggan yang sudah dan akan dilayan.
Operasi kedai runcit, restoran

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memeriksa premis-premis perniagaan dan mengenakan tindakan sitaan terhadap lapan kedai runcit dan restoran.
Sitaan tersebut melibatkan dua premis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP), empat premis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan.
Sementara itu, dua lagi melibatkan Seksyen 46(1)(d) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barang yang menghalang laluan. – UTUSAN










