SUBANG JAYA: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM7 juta selepas menemukan sebuah kereta ditinggalkan di tepi jalan dengan muatan guni berisi bungkusan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Ogos lalu di SS17, apabila bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menerima panggilan orang awam berhubung kemalangan sebuah Honda Civic berwarna merah di Subang Jaya.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati kereta terbabit tiada pemandu atau penumpang. Pemeriksaan lanjut menemukan empat guni berisi 78 bungkusan plastik mencurigakan di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan pada bonet turut menemukan tujuh guni lagi berisi 130 bungkusan plastik. Keseluruhannya polis merampas 11 guni berisi 208 bungkusan disyaki syabu seberat 220.16 kilogram bernilai RM7 juta.
“Selain itu, polis turut menjumpai satu kad pengenalan milik seorang lelaki tempatan dipercayai suspek utama. Individu berusia 32 tahun itu dikenalpasti berasal dari Rantau Panjang, Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu di samping turut mengesahkan suspek mempunyai enam rekod jenayah pelbagai kesalahan dan sembilan lagi rekod kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.
Wan Azlan memaklumkan, rampasan besar itu mampu dibekalkan kepada lebih 200,000 orang penagih dengan pihaknya kini sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian di SS17, Subang Jaya, selain mengesan laluan kenderaan dari arah Lebuhraya Persekutuan di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, pihak polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kes ini. Namun, siasatan masih diteruskan termasuk kemungkinan wujud rangkaian pengedaran dadah lebih besar yang menggunakan kenderaan tersebut bagi tujuan penyeludupan.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada kereta berkenaan terbabas atau terlibat dengan kemalangan di kawasan terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-906 5674 atau balai polis berdekatan. Maklumat dashcam pengguna jalan raya turut dialu-alukan,” katanya. – UTUSAN