Peguam gesa tindakan terhadap pegawai polis gagal patuh SOP

Peguam gesa tindakan terhadap pegawai polis gagal patuh SOP

ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai polis yang terbukti gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Hamid Ismail bersama lima lagi peguam berkata, pihaknya merujuk kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap tiga pegawai kanan polis.

Ketiga-tiga mereka ialah ketua polis daerah berpangkat superintenden, ketua bahagian siasatan jenayah daerah (KBSJD) berpangkat asisten superintenden (ASP) serta pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang disyaki tidak mematuhi SOP dalam siasatan kes tersebut.

“Kami menyokong penuh siasatan tatatertib yang dijalankan terhadap mereka yang terlibat.

“Gelombang JusticeForZara yang berlaku di seluruh negara tidak akan timbul sekiranya pegawai penyiasat melaksanakan tugas mengikut prosedur undang-undang, sebaik menerima maklumat kematian Zara pada 17 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, JIPS Bukit Aman akan mengambil keterangan KPD dan dua pegawai kanannya yang terlibat dalam siasatan kematian Zara Qairina.

Ayob Khan berkata, siasatan akan dijalankan mengikut prosedur tatatertib, malah JIPS akan menghantar pasukan ke Sabah dalam masa terdekat.

Barisan peguam turut memaklumkan, mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mereka juga menegaskan gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua kes kematian yang melibatkan keadaan meragukan disiasat secara telus, menyeluruh dan mengikut SOP dari tarikh penerimaan laporan maklumat pertama.

“Sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP, tindakan tegas perlu diambil terhadap pegawai-pegawai polis terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×