SHAH ALAM: Polis menemui beberapa petunjuk positif dalam siasatan terhadap kejadian seorang pelajar yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Ketua Polisi Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan yang sedang dilakukan polis turut menunjukkan hala tuju yang jelas namun perlu meneliti pelbagai perkara sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Siasatan masih diteruskan dan ia menampakkan hala tuju yang lebih positif bagi mengenal pasti punca kejadian sebenarnya. Banyak pihak membantu polis sehingga kini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil dengan menunjukkan tindak balas positif selepas menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan otak yang dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan pelajar lelaki itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Malah, kelmarin Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semalam memberitahu beliau dimaklumkan sekurang-kurangnya 12 individu sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis susulan kejadian.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti situasi dan punca sebenar kejadian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










