Guru taska heret, pukul kepala kanak-kanak perempuan

Guru taska heret, pukul kepala kanak-kanak perempuan

Pukul kanak-kanak
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang guru menendang kanak-kanak yang dijaganya dekat sebuah taska di Bandar Rimbayu, di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Diheret ke tandas dari kelas, kepala dipukul dengan botol air dan tudung saji kecil serta ditendang-tendang, demikian trauma dilalui seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dekat taman asuhan kanak-kanak (taska) dekat Bandar Rimbayu, di sini, pada Isnin minggu lalu.

Situasi tersebut didedahkan seorang guru lain kepada ibu kanak-kanak berkenaan sebelum melihat dengan mata dan kepalanya sendiri menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska tersebut pada 18 Ogos itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya kemudian menerima laporan daripada wanita berkenaan pada 24 Ogos lalu yang memberitahu anaknya didera secara fizikal dan mental oleh seorang guru.

Menurutnya, perkara itu diketahui ibu mangsa berusia 38 tahun yang bertemu guru berkenaan ketika mahu mengambil anaknya kira-kira pukul 6 petang pada hari berkenaan.

“Kemudian, pada Jumaat minggu lalu, ibu mangsa menonton rakaman CCTV dan mendapati kejadian berlaku seperti mana diceritakan oleh guru yang ditemuinya sebelum berbincang dengan keluarga mengenainya.

“Pengadu membuat laporan polis kira-kira pukul 9.01 malam pada Ahad untuk rujukan pihak taska dan pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah Mohd. Akmalrizal, susulan laporan, polis terus menahan guru yang menjaga kanak-kanak tersebut bagi menyiasat dakwaan seperti dilapor oleh wanita berkenaan.

“Suspek ditahan dan direman selama lima hari, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat atau menghubungi bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN